MAK SARA menjeling ke arah anak tunggalnya sejak suku jam yang lalu sambil-sambil
membungkus parutan ubi kayu yang hendak di jadikan lepat ubi. Satu persatu
lepat ubi di susun ke dalam periuk kukus ayan peninggalan arwah ibunya. Itulah satu-satunya barang
peninggalan arwah yang sangat memberi makna buatnya. Periuk kukus bertingkat
kesayangan Arwah Mak Leha yang dihadiahkan oleh suaminya suatu ketika dahulu
banyak mengamit kenangan-kenangan lalu.
Sekali
lagi matanya dilirikkan ke arah anak daranya yang menjalar di lantai kayu ruang
tengah rumah. Menghabiskan kerja sekolah kononnya. Tapi anak gadis itu
sepertinya telah jauh melayang-layang di udara sambil dibuai mimpi-mimpi indan.
Sesekali mimik wajahnya tersenyum. Adakalanya wajah manis itu tiba tiba jadi
redup. Tubuh kurus itu kemudiannya terlentang memangang ke langit yang
berbataskan siling dan atap rumah.
Apa
agaknya yang difikirkan oleh Airis, soal hati kecil seorang ibu.
Tak
semena-mena, anak gadis yang berrambut karat sejak kecil itu bangkit dari
pembaringannya. Duduk memegang kedua-dua lututnya. Bermenung. Kelihatan tak
senang duduk sejak beberapa minit yang lalu. Gelisah.
Dari
jauh si ibu menggeleng-geleng perlahan.
“Heeeeeeeiiiii!”
tiba-tiba si gadis berteriak. Hatinya mula sebak. Ekor matanya dilurut dengan
telunjuk.
“Benciii!”
teriak si gadis lagi. Maka dengan itu, terhinjut-hinjut tubuh kurus itu melayan
tangisnya.
Mak
Sara tetap tenang. Dia cukup masak dengan perangai anaknya itu. Yang pasti, ada
perkara yang sedang berserabut difikiran Airis pada ketika itu. Airis anak yang
bijak. Dia biasanya berjaya menghadapi segalanya sendiri.
“Ya-Allah,
ringankanlah ujiannya. Dia anakku yang baik dan taat.”
Mak
Sara tak pernah ingin menyalahkan Airis. Dia faham akan segala tekanan yang
perlu Airis galas sejak kecil. Anak kecil manjanya itu bagaikan dah lali dengan
segala yang mendatang. Susah senang, Airis tak pernah sekali pun merungut
didepannya. Paling tidak pun dia hanya akan berteriak seperti tadi. Bila
disoal, jawapan Airis hanyalah untuk meredakan ketegangan dalam dirinya.
“Ibu
buat lepat?” teguran Airis mematikan lamunan Mak Sara.
“Haah..”
“Lepat
ubi?”
“Yer..
lepat ubi, kenapa?”
“Ada
lebih tak?”
“Mestilah
ada. Ai nak hantarkan untuk Qalif yer?” soal si ibu.
“Tak
mahulah. Ai nak tayang jer lepat ubi ni depan dia.”
“Ai..”
Herot
mulut Airis.
“Gaduh
lagilah ni?” teka si ibu.
“Sentap
sikit jer.”
“Qalif
paling suka lepat ubi. Kesian kat dia.”
“Ai
benci dialah ibu.”
“Jangan
selalu sangat membenci orang, nanti jatuh sayang bagaimana?”
Muram
wajah si anak gadis. Beberapa keping lepat disusun-susun kembali ikut suka.
“Dah
tak ada kerjalah tu. Kan ibu dah susun elok-elok. Mengapa Ai susun semula?”
Airis
menunduk.
“Dah
solat asar?”
“Dah.
Pergi mandi. Solat.”
“Kenapa
dia benci sangat dekat Ai yer, ibu?” soal Airis sambil memandang ke dalam mata
ibunya.
“Siapa
yang benci?” Airis disoal kembali oleh ibunya.
Airis
diam. Bibirnya dikumam-kuman seperti menahan rasa di hati. Matanya berkaca.
“Dahlah
tu. Ai dah salah faham ni. Ibu tak pernah nampak yang Qalif tu membenci Ai.”
“Apa
yang Ai buat, semuanya tak pernah betullah ibu. Ada jer yang salah pada dia.”
“Dia
tegur sebab dia sayang, Ai. Dia nak yang terbaik buat Ai.”
Butir
mutiara itu akhirnya tewas di situ. Ia gugur membasahi pelantar pipi Airis.
“Ai..
Kadang-kadang, orang yang kita sangka musuh adalah orang yang terbaik umtuk menjadi
teman rapat kita.”
“Ai
tahu ibu..” sebaknya semakin mengunung.
“Boleh
ibu tahu kenapa Ai sedih? Badar dan kawan-kawan pun selalu jer mengata Ai. Selalu cari pasal dengan Ai. Malah mereka
pun benci Ai. Tapi ibu tak pernah tengok Ai sedih macam ni sekali.”
“Ibu..”
Mak
Sara memeluk erat anak dara kesayangannya itu.
“Dah.
Jangan sedih lagi. Ai pergi mandi. Solat. Mohon pada Allah moga-moga dilembutkan
hati dia yer..” pujuk Mak Sara. Air mata Airis diseka dengan jarinya.
“Terima
kasih, ibu. Ai masuk bilik dulu yer.”
“Hurm..”
Airis
berlalu. Mengemaskan buku-bukunya yang berselerak di lantai ruang tengah dan
bangkit semula. Dia mengatur pula langkah ke biliknya.
“Ai..
Jangan lama-lama yer. Nanti siapa nak tolong ibu hantarkan lepat ni ke rumah
mak.”
“Iya, ibu..”
Hanya Aku yang tahu..
Setelah
selesai menunaikan tanggungjawab sebagai seorang insan kepada penciptanya,
Airis menyertai ibunya minum petang.
“Ibu
ada bungkuskan sedikit lepat tu. Nanti Ai tolong hantarkan untuk Qalif yer.”
“Ibu
ni, sikit-sikit Qalif. Sikit-sikit Qalif. Macam dah tak ada orang lain dah dalam
kampung kita ni.”
“Ai..
Qalif. Mika. Idi. Ketiga-tiga mereka tu dah macam anak bujang ibu.”
“Qalif
tu dah macam Abang pada kamu. Tak perlulah Ai nak cemburu pada dia,” tambah si
ibu lagi.
“Lepas
ni Ai nak ronda-roda kampung yer, ibu. Boleh kan?”
“Boleh.
Tapi jangan balik lewat sangat. Kamu tu anak dara. Tak elok balik lepas
maghrib,” pesan Mak Sara.
“..jika
tak, ibu akan suruh bapak tiri kamu tu menyusul,” celah Airis sinis. Menyakat
ibunya walhal orang tua itu belumpun selesai menghabiskan ayatnya tadi.
“Hah..
betullah tu. Tepat sekali. Bijak betul anak ibu ni,” jelas si ibu.
“Qalif..
Qalif.. Qalif. Tak sudah-sudah dengan Qalif,” sungut Airis sambil membasuh
cawan dan piring kuih.
“Sayang
sangat dengan si panjang tu,” bebel Airis lagi.
“Kamu
pun sayang dia juga kan? Jangan nak tipu ibulah. Ibu tahu rahsia hati anak ibu
ni.”
“Ibu…”
tangannya berhenti menyabun piring kuih lalu bibirnya dijuih tajam sebagai tanda protes.
Mak
Sara yang mengemas meja makan hanya menguntum senyum.
“Ai,
pergi dulu, bu.”
“Bawa
Tupperware tu sekali.”
“Iya.”
Sambil mengambil basikal yang disandarkan di
tiang bawah rumah Airis berkata-kata sendiri, “Aku ni, sayang dia ker? Si
panjang tu?”
“Taklah
kot. Hish!”
“Sayang
ker?” soalnya sejenak.
"Eh.. tak lahhh.."
"Eh.. tak lahhh.."
Tanpa berlengah, basikal
BMX buruknya dikayuh perlahan menuju ke rumah Mak Bibah dan Pak Dollah.
“Assalamualaikum..”
Salam
dilontarkan berulangkali. Namun tiada balasannya dari dapur. Basikalnya lantas
dibaringkan di atas tanah sahaja. Dah patah tongkat, begitu sahajalah caranya
yang ada untuk meletakkan basikalnya.
“Assalamualaikum..
Mak..! Ohh.. Mak..!” laung Airis lagi.
“Mana
semua orang dalam rumah ni? Takkanlah semuanya tidur. Dah petang sangat kot?”
“Mak!”
suara dilontarkan dengan lebih kuat.
“Siapa
tu?” soal seseorang dari dalam rumah.
“Ai,
ni.”
“Ohh..
Kak Airis. Mak tengah solat. Jemputlah masuk. Pintu dapur tu tak berkunci pun,”
sahut anak bongsu Mak Bibah, Azidi yang menjenguk dari tingkap biliknya.
Airis
cuba menolak pintu dapur tersebut tetapi tak berjaya.
“Kuat
sikit kak. Pintu tu memang ketat sikit, engselnya dah berkarat. Abah belum
sempat nak baiki lagi,” terang Azidi lagi.
Airis
menolak dengan lebih kuat lagi kali ini. Sebelah tangan. Pintu tadi pun terbuka
tetapi sepertinya telah terhantuk pada sesuatu.
“Ohh..
mak datuk engkau. Hah! Kan dah terhantuk,” latah Airis pendek.
“Huh!
Datang rumah orang dah tak pandai bagi salam ker?” jerkah Qalif yang tiba-tiba muncul
disebalik pintu tersebut. Dahinya digosok-gosok dengan belakang tangan. Sakit terkena
kuakkan dari pintu yang tiba-tiba terbuka.
“Orang
dah bagi salamlah tadi. Tapi tak ada yang jawab,” terang Airis perlahan.
“Alasan.
Aku tak dengar pun,” ujar Qalif lagi. Matanya melirik ke arah bekas yang sedang
dijinjit oleh Airis.
“Ada.
Awak tu yang tak dengar. Pekak.”
‘Ingat
aku..” belum pun Qalif selesai menyusun ayat, Mak Bibah pun muncul.
“Airis.. Masuklah. Mak solat tadi,” tegur Mak Bibah
dari atas tangga dengan lengkap bertelekung.
“Tak
apalah Mak. Airis singgah sekejap saja. Ini, ibu ada kirimkan lepat ubi untuk
Idi,” ujar Airis sambil menghalakan bekas tersebut kepada Mak Bibah.
Qalif
pantas menyambutnya tetapi sempat ditepis oleh Airis. Buntang mata Qalif.
“Ini
untuk Idi lah. Bukan untuk awak,” tegas Airis.
“Ada
aku kisah?” balas Qalif selamba.
“Aish! Budak berdua ni. Ada saja kesempatan
nak berlawan mulut. Tak boleh ker berdamai sekejap,” tegur Mak Bibah.
“Dengan
dia ni, nak berdamai? Minta maaf sajalah. Buang masa jer Mak,” ujar Qalif mencebik.
Airis
membalas dengan cebikkan.
“Ehh.. makcik, Idi
mana makan lepat ubi. Dia makan lepat pisang jer. Bak sini tupperware tu,” balas
Qalif sambil cuba untuk menangkap
kembali bekas kedap yang berisi lepat dari tangan Airis. Terasa seperti dah tertelan
lepat tu dikerongkongnya. Sedap.
“Tak
apalah kalau Idi tak makan. Orang bawakan untuk Mak, bukan untuk awak. Tak malu
betul,” Airis bertegas lagi.
“Mak
tak makan ubi. Angin.”
“Qalif..”
“Padan
muka,” ujar Airis sambil menjelirkan lidahnya mengejek Qalif.
“Wah!
Sebijilah macam biawak tepi sungai hari tu,” sakat Qalif.
Airis
menjeling lalu menghulurkan salam kepada Mak Bibah. Tangan orang tua itupun dicium
seketika. Mak Bibah pun menyambut bekas berisi lepat tadi. Dahi anak dara itu
turut dikucup. Meluat pula si Qalif melihatnya. Bengkak jer rasa dada.
“Terima
kasih banyak-banyak yer.”
“Sama-sama,
Mak. Ai pergi dulu yer,” kata Airis memohon diri.
“Iyalah.
Ai, nak ke mana pula tu?” soal Mak Bibah.
“Nak
cari gaduh dengan Badar ler tu,” sampuk Qalif pantas.
“Hey!
Awak jangan nak melampau yer,” tegas Airis memberi amaran. Naik telunjuknya
menunding ke arah Qalif. Berketap-ketap gigi atas dan bawahnya menahan rasa geram
terhadap si tampan yang nakal itu.
Mak
Bibah menggeleng-gelang memandang.
“Ai
nak ronda-ronda kampung saja, Mak. Ambil angin. Hilangkan rasa bosan. Biar
tenang sikit hati yang sedang menggelegak ni.”
“Aduhai,
budak berdua ni. Dinikahkan nanti baru tahu. Hari-hari nak bercekau. Tak boleh
tidak. ”
“Apa
nak jadi ni?” soal Mak Bibah buat kedua-duanya.
“Itulah,
anak bujang kesayangan Mak tu. Tak boleh tengok orang senang. Dengki. Hati busuk,” cepat sahaja
Airis membalas sambil membongkok untuk mengambil basikalnya yang sengaja dibiarkan
terbaring di tanah sejak tadi.
“Awak
tu yang tak boleh tengok orang senang,” balas Qalif dalam pada cuba menarik
tocang satu di kepala Airis. Namun sempat ditegah oleh Mak Bibah. Tersipu-sipu
Airis mengejeknya.
“Kalau
dah merayap tu, pandai-pandailah balik cepat. Kang menyusahkan orang jer nak kena
cari dia satu kampung,” sindir Qalif.
“Ada
orang suruh awak susul ker? Tak ada kan?” dengan nada geram, memandang ke arah
Qalif. Tak puas hati.
“Pergi
dulu mak. Assalamualaikum, mak,” laung Airis setelah bertenggek di atas basikalnya
lalu mula mengayuh pedal basikalnya.
Mak
Bibah tersenyum. Terhibur dengan gelagat gadis lincah itu. Airislah tempat dia
menumpang kasih anak perempuan selama ini.
“Ada
ker patut bagi salam dekat mak sorang jer. Kita ni apa? Tunggul?” sungut Qalif.
“Jangan
nak membebel. Nah! Ambil rezeki kamu ni. Untunglah ada dia yang sentiasa
ingat pada kamu tu,” ujar Mak Bibah lembut.
“Pembetulan
Mak. Bukan dia yang ingat kat saya, tetapi ibu,” balas Qalif dalam pada tak mahu
mengalah. Namun bekas berisi lepas pantas disambar. Sebatang lepat ubi lantas disuakan
ke mulut. Mengunyah-ngunyah puas.
“Ermm..
Sedap.”
No comments:
Post a Comment