Tuesday 24 November 2015

Aku Tak Sendiri: 4

Hari ini Airis bercadang untuk keluar lebih awal ke sekolah. Penuh bersemangat dan ceria. Mak Sara juga riang melihatkan perubahan yang berlaku terhadap anak tunggalnya pada pagi tersebut. Nasi lemak yang siap ditanak, minta dibungkus comel-comel dengan beralaskan daun pisang oleh Airis. Dua bungkus nasi lemak telah pun  tersedia di atas meja. Secawan kopi ‘o’ sudah mekar aromanya di ruangan dapur, berpadu pula dengan  aroma dari daun pisang yang dilapik bawah timbunan nasi lemak dalam pinggan makan.
“Assalamualaikum, Bu..”
“Walaikumussalam, sayang. Awalnya pagi ni,” tegur Mak Sara sambil mengukir senyum.
“Azam baru,” pendek sahaja jawapan daripada Airis.
Dia meluru ke kabinet tua berwarna coklat di sisinya. Lantas sehelai plastik kecil berwarna merah dikeluarkan dari laci almari lama tersebut. Dua bungkus nasi lemak yang sedia menantikan kehadirannya dibawa memenuhi plastik tadi. Maka dengan itu, bungkusan tersebut pun segera dimasukkan ke dalam beg sekolahnya.
“Ai pergi dulu, Bu,” ucap Airis sambil menghulurkan salam ke arah Mak Sara yang sedang mengemas dapur.
“Tak minum dulu? Ibu dah hidangkan tu,” soal Mak Sara seraya berhenti menyapu. Salam anaknya disambut. Sebuah kucupan hinggap pada kedua belah pipinya.
Kasut bertali warna hitam segera disarung di kaki tangga. Kemudian, Airis tergesa-gesa pergi setelah mencapai basikal BMX merah yang sedikit kusam warnanya di tiang bawah rumah.
“Ai… Airis!” laung Mak Sara bilamana terpandangkan dompet duit Airis masih terdampar di atas meja makan.
“Aih! Lupa lagilah tu,” keluh Mak Sara ketika sampai di muka pintu.
Kedudukan alas kaki yang senget segera dibetulkan oleh Mak Sara. Dengan tangan kanan yang masih memegang penyapu gandum, dia menguis-nguis sepasang selipar supaya kembali tersusun rapi di muka pintu tersebut.
“Assalamualaikum, Bu,” Mak Sara ditegur dari belakang.
Berpalinglah si ibu tua. Bibirnya lantas melebarkan senyuman.
“Waalaikumussalam. Qalif...”
“Ibu apa khabar pagi ni?”
“Sihat. Baru nak ke sekolah?” soal Mak Sara.
“Ya. Teringat nak jenguk ibu sekejap, itu yang Qalif singgah ni. Lagipun masih awal lagi ni,” terang Qalif Adib dengan santunnya. Jam di pergelangan tangan sempat dikerling seketika.
“Oh yaa.. Ibu nak minta tolong sikit boleh?” soal Mak Bibah. Dia pasti, permintaannya mesti takkan dihampakan oleh Qalif seperti biasanya.
“Mengapa, Bu?” ujar Qalif sambil turun dari basikalnya. Ditupang kenderaan tunggangannya itu lalu menyongsong ke arah Mak Sara di pintu dapur.
“Wah sedapnya bau,” luah Qalif.
“Kamu dah sarap? Ibu ada masak nasi lemak pagi ni. Kalau belum, marilah makan dulu. Sempat lagi ni,” pelawa si ibu.
“Itulah. Bila bau nasi lemak ibu ni, buat perut Qalif terus terasa lapar. Sekejap berlagu keroncong dan sekejap berlagu ghazal,” balas Qalif sambil mendekati meja makan. Tudung saji mengkuang lantas disingkap. Ceria wajahnya bilamana semuanya telah pun sedia terhidang bersama secawan kopi ‘o’.
“Ada-adalah kamu ni Qalif.”
“Sebenarnya Qalif dah sarap roti bakar tadi. Tapi tak apalah, Qalif nak jamah juga sedikit,” sambungnya lagi.
Nasi dalam pinggan terus diluakkan sedikit. Sambal ayam Mak Sara yang selalu menjadi lauk kegemarannya lantas dicedok ke pinggan. Beriya sungguh dia makan. Kopi ‘o’ diteguk sebagai penutup.
“Sahaja ibu masak lebih tadi. Ibu tahu, kamu mesti singgah.”
 “Alhamdulillah. Murah rezeki saya pagi ni,” luah Qalif ketika bangkit dari duduknya. Pinggan makan serta cawan dibawa ke sinki untuk dicuci.
 “Oh ya... Ibu nak kirim dompet Airis pada kamu, boleh?” soal Mak Sara.
“Tertinggal lagi?”
Mak Sarah mengangguk. Faham maksud tersirat anak muda itu.
“Hurm... Dia nak cepat sangat tadi, langsung terlupa. Walhal, dompet ni ada aje atas meja makan tu,” jelas Mak Sara.
 “Boleh ker?” soal Mak Sara kembali.
“Ehh... Mestilah boleh, Bu. Untuk ibu, apa-apa sahaja pun boleh.”
“Hish! Kamu ni. Main-main pula dia.”
“Betul-betullah, Bu. Mana ada Qalif main-main.”
“Kalau ibu minta kamu jaga Airis jika ibu dah tak ada nanti. Boleh?” Mak Sara memaut pandang wajah jernih Qalif.
Tergamam Qalif dibuatnya.
“Kenapa ibu cakap macam ni?”
“Boleh ker Qalif,” Mak Sara menyoal kembali.
“Ibu kan ada. Qalif ada. Mak dan Abah pun ada. Kita jagalah anak dara kesayangan ibu tu sama-sama. Mika dan Idi pun boleh bantu.”
“Tapi Ibu lebih berharap pada kamu. Cakap kamu seorang sahaja yang dia mau dengar. Cakap orang lain langsung tak dihiraukannya.”
“Ibu..”
“Janji pada ibu yer, Qalif,” rayu Mak Sara.
Qalif menggangguk perlahan.
Wajah Mak Sara sedikit keruh.
“Qalif janji, Bu. Qalif akan jaga Ai, sebagaimana yang Qalif mampu,” ikrar Qalif pada Mak Sara.
Kelopak mata Mak Sara mula lembab.
 “Aih! Awal pula makcik tu ke sekolah hari ni. Luar biasa ni Bu,” ujar Qalif sambil cuba untuk mengubah topik. Dompet yang dihulur oleh Mak Sara terus dicapai lalu di simpan dalam kocek seluar.
“Entahlah. Ibu pun rasa pelik juga. Tapi tak apalah, mungkin langkah dia nak berubahlah tu.”
“Alhamdulillah...” sahut Qalif senyum.
Mak Sara juga turut sama tersenyum.
“Qalif pergi dulu, Bu,” izin diminta untuk pergi.
“Iyalah. Hati-hati ya,” pesan Mak Sara buat si bujang tampan yang rapi rambutnya tersisir ke tepi.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”

Apa agaknya plan Airis pagi ni?



Di perkarangan sekolah, Airis kelihatan lebih cergas dan ceria berbanding selalu. Dia terus naik ke tingkat atas, menuju ke kelasnya. Beg sekolah berwarna merah dan kelabu jenama UMBRO disangkut pada kerusi kayu miliknya. Bungkusan plastik berisi bekal tadi dikeluarkan dari perut beg. Satu bungkus nasi lemak di letakkan pada laci bawah meja tulis tersebut manakala sebungkus lagi dijinjit keluar dari kelas. Dia melangkah dengan pasti menuju ke tingkat paling atas.
Apabila tiba di hadapan kelas yang paling hujung pada aras tertinggi tersebut, matanya tertumpu pada papan tanda nama yang tertulis 5 Al Farabi pada bingkai pintu. Mekar senyumannya. Dengan penuh berhati-hati dia menoleh ke kiri dan kanan. Koridor tingkat berkenaan kelihatan masih lagi sunyi tanpa pelajar. Langkah diatur. Sebuah meja paling hadapan di sudut kanan kelas terus dituju.
Meja yang berbalut dengan kemasan alas meja berwarna kelabu dihampiri. Terdapat beberapa lukisan kejuruteraan bersaiz kecil tersimpan di bawah plastik lutsinar pembalutnya. Juga tertera nama pemilik meja berkenaan di situ.
Bungkusan nasi lemak daun pisang lantas diletakkan di tengah-tengah meja tersebut. Di samping itu, secebis nota turut dititipkan pada bawah plastik lutsinar berkenaan. Sebelum ada yang memerhati, Airis segera beredar sambil bernyanyi-nyanyi kecil. Riang hatinya pada pagi itu. Dia menapak keluar dengan harapan agar tuan punya meja bisa berlembut hati dengannya. Seperti biasa, dia berlari menuruni anak-anak tangga untuk ke tempat lepaknya di tepi padang sekolah. Hatinya puas. Mudah-mudahan dia peroleh jawapan yang positif daripada si pemunya meja.
Setibanya di sekolah, Qalif segera mengunci basikalnya pada palang besi di tempat letak basikal yang telah dikhaskan buat para pelajar. Sambil memerhati kawasan sekeliling, dia memanjat anak tangga untuk ke kelasnya sebelum keluar untuk memulakan tugas harian seperti kebiasaanya.
Terkejut. Berkerut dahinya bilamana terpandangkan satu bungkusan di atas meja miliknya dari ambang pintu. Dia mengundur setapak ke belakang. Berpaling ke kiri dan kanan. Sunyi. Tiada sesiapa pun di situ. Kakinya di atur melangkah ke kelas bersebelahan. Kosong. Melangkah lagi menuju kelas yang berikutnya. Juga masih kosong. Tiada sesiapa pun yang ada di tingkat berkenaan. Sambil otaknya ligat berfikir, langkahnya diatur kembali ke kelas sendiri. Ketua pengawas yang agak disegani itu terpaku di hadapan meja sendiri. Bungkusan plastik yang terasa suam-suam lantas dicapai.
“Siapa punya ni?” soalnya perlahan.
“Takkanlah orang salah kelas? Salah meja?” dia lantas mengelilingi kelas dengan bungkusan nasi lemak di tangan.
Memang tiada siapa yang telah tiba melainkan dirinya seorang.
“Peliknya.”
Nasi lemak yang berbungkus kemas tadi diletakkan kembali di atas meja. Otaknya dijana lebih laju dari biasa. Tubuhnya dipalingkan memandang ke arah tingkap yang terbuka, menghala padang sekolah.
Berfikir. Seketika, dia menoleh ke arah bungkusan nasi lemak tadi.
“Siapa yang bagi agaknya,” luah Qalif perlahan. Melontar pandangan ke sekitar padang sekolah sambil berpeluk tubuh.
Tanpa disangka-sangka matanya berhenti pada sesusuk tubuh yang duduk pada bangku batu di tepi padang. Sendirian termenung gayanya.
“Airis?”
“Tak mungkin. Ibu pun masak nasi lemak, takkanlah makcik tu beli nasi lemak pula. Tak logik.”
Lagipun kelas Airis adalah di blok paling belakang. Mustahil Airis punya kerja. Itulah yang terlintas di fikiran Qalif.
“Hoi! Pagi-pagi lagi YB dah termenung ni. Memikirkan hal negara ker?” Qalif disapa oleh sahabat sekelasnya.
“Engkau ni tak sudah-sudahlah, Raz. Ada saja usaha nak mengenakan aku. Dahlah salam pun tak bagi,” balas Qalif.
“Opps... Assalamualaikum, wahai Yang Berhormat...” ujar Razman menyeringai.
“Waalaikumussalam.”
“Wah! Wah! Ini sudah bagus. YB bawa bekal hari ni,” tegur Razman lagi.
“Entah-entah kau yang punya kerja ni. Letak nasi lemak atas meja aku dan lepas tu pura-pura baru sampai. Ini semua kerja kau kan Raz? Usahlah kau nak kenakan aku,” perangkap Qalif sambil menunding telunjuk ke arah sahabatnya itu.
“Ehh... Bila masa pula? Aku baru jer sampai ni hah. Beg pun belum letak lagi. Nampak,” bidas Razman membela dirinya.
“Assalamualaikummmm...” panjang intonasi ucapan salam yang dilontarkan oleh Azman yang baru menjenguk ke kelas.
Maka dengan itu, Qalif dan Razman pun segera berpaling sambil menjawab salam.
“Hah… Aku tahu... Aku tahu... Ini mesti Pendek punya kerja ni YB,” ujar Razman kepada Qalif. Keningnya terangkat-angkat. Siap dengan memek muka untuk menyakinkan sahabatnya yang sering digelar dengan panggilan YB itu.
Manakala Azman pula ternganga di ambang pintu. Tumpul otaknya nak berfikir. Masuk-masuk jer, dah kena tuduh. Apa hujung dan pangkal ceritanya pun dia tak tahu.
“Masuklah... Yang kau tercegat macam patung cendana depan muka pintu tu, kenapa?”
“Sini kau, YB nak jumpa ni. Urusan seri paduka baginda,” tambah si Razman lagi.
“Aku nak masuklah ni. Tapi apa halnya ni? Tetiba jer korang petik nama aku,” soal Azman yang sedikit katik berbanding dengan kedua-dua sahabat akrabnya itu.
“Ini, YB nakkan penjelasan daripada kau.”
“Penjelasan apanya pula ni?” Azman mula cuak. Mana taknya walaupun mereka sama-sama pengawas, tapi Qalif adalah ketua mereka.
“Ada kau letak bungkusan nasi lemak secara curi-curi atas meja YB?” soal Razman sambil menunding bungkusan nasi lemak yang masih terdampar di atas meja milik Qalif.
“Bila pula?” soal Azman kembali.
Qalif menepuk dahi. Nak ketawa pun ada bila tengok gelagat sahabat-sahabatnya itu. Dah macam polis pula si Razman menyoal siasat.
“Haish! Cukuplah tubuh kau saja yang pendek. Janganlah akal kau tu pun dipendekkan sekali. Dah sah-sahlah kami tujukan kepada nasi lemak yang tergonggok kat tengah-tengah meja YB ni hah. Boleh pula dia tanya kita bila,” sungut si Razman. Menggeleng-geleng kepalanya.
“Heheh... Janganlah marah. Otak aku ni, kalau sesubuh ‘sapiee’ cam ni memang lambat pick-up sikit."
"Ada sahaja alasan kau."
"Alahai... Hal berkenaan nasi lemak rupa-rupanya. Ingatkan hal kena samun ker. Tak pun kena copet ker tadi,” jelas Azman lagi.
“Kau jangan banyak cakaplah, Man. Kau ker yang letak nasi lemak ni?” soal Qalif.
“Bila pula? Daripada aku letak atas meja kau, baik aku yang makan. Dahlah aku tengah lapar ni. Kesiangan. Mak aku pula tak sempat nak buat sarapan subuh tadi,” jelas Azman.
“Iya tak iya juga eh,” balas si Qalif.
“Jadi, ini barang kes lah ni yer?” soal Azman nakal sambil menunding telunjuknya ke arah nasi lemak tersebut. Terteleng-teleng kepalanya memerhati nasi lemak tersebut.
“Ha... Lah...” garang pula jawapan si Razman.
“Alah, nasi lemak jer pun. Bukannya gajah ker. Jet pejuang ker. Kalau yang itu barulah masalah besar,” celah Azman lagi.
“Banyaklah kau punya besar,” tokok si Razman pula.
“Kau makan jerlah, YB. Entah-entah, ada secret admirer yang sengaja belikan untuk kau kot. Mana tau, dia nak pikat hati kau,” tambah Azman.
“Yerlah YB... Betul juga cakap si Pendek ni. Baik kau makan jerlah nasi lemak ni. Baunya pun macam sedap,” sokong si Razman.
“Kau nak? Kau kata kau lapar tadi,” tawar Qalif.
“Ehh... Kau lupa ker? Pendek kita ni mana makan nasi lemak. Diakan keturunan Mat Saleh. Makan beef steak saja,” usik Razman.
“Kau jangan nak macam-macam, Bulat. Aku siku kau karang. Pembetulan sikit yer. Memanglah aku ni cucu Mat Saleh. Bapa aku bernama Pak Nayan. Walaupun aku lahir dari keturunan Mat Saleh, tapi aku telan petai dan tempoyak tau. Kau ada?”
“Eei... Ehh... Aiman ler,” cecepat Razman mengalih topik. Telunjuknya menunding ke arah Airis yang masih duduk di tepi padang sekolah sebelum dia menjadi bahan umpatan kawan-kawannya pula.
Sekilas Qalif menoleh. Tajam jelingannya.
“Sesuka hati kau jer nak mengubah nama anak orang,” tegur Qalif sambil melirik jam di tangan. Dia berlalu pergi kemudiannya.
“Huh! YB marah tu,” usik Razman.
Azman hanya tersengih lalu kedua-duanya pantas meluru Qalif daripada arah belakang.
Hoi! Tunggulah. Menonong jer, laung Azman.
Qalif menghentikan langkahannya. Bia berpaling. Wajahnya kelihatan serius.
Seriusnya. Relakslah kawan. Hidup ni, kena ceria, pujuk Azman.
“Tapi tidaklah sentiasa ceria. Adakalanya kita kena serius juga, bidas Qalif tegas.
"Alahai.. Aku bergurau BFF jer. Tak kan itupun nak sentap, balas Razman.
“Selain mak bapa, kami inilah pelengkap hidup kau. BFF kau,” jelas Azman lagi.
"Kami?" soal Qalif kembali.
"Iyalah. Aku. Bulat. Dia,” balas si Azman.
"Seorang bernama Azman. Seorang bernama Razman. Dan yang seorang lagi  tentulah bernama Aiman,” sampuk Razman dalam pada cuba melawak.
“Tak cukup lawak. Malaslah nak layan korang. Aku dah lambat ni. Aku bertugas kat pagar depan hari ni. Nanti memetir pula Cikgu Rashidi  bila tengok tak ada orang yang bertugas kat sana sekarang.”
“Ohh... Aku bertugas dipagar belakang hari ni,” ujar Azman sambil membetulkan tali lehernya.
“Oklah, nanti kita jumpa. Aku pun nak pergi naikkan bendera kat tapak perhimpunan ni,” ujar Razman pula.
“Semalam hujan lebat ker? Lupa pula aku,” luah Qalif.
“Iyalah, sebab tu aku turunkan bendera tengahari semalam. Sekarang ni kan musim hujan,” balas Razman.
“Banyak makan semutlah ni. Sebab itulah cuaca semalam pun kau dah lupa,” celah Azman pula.
“Banyaklah kau punya semut,” sambung Qalif pula.
Ketiga-tiga mereka berpecah menuju ke destinasi masing-masing.

Loceng sekolah berbunyi menandakan waktu untuk masuk kelas pun tiba.  Semua pelajar meremut beratur di koridor kelas masing-masing. Ahli Unit Pandang Dengar sekolah telah bersedia untuk menjalankan tugas mereka. Lagu kebangsaan, lagu negeri dan lagu sekolah bakal berkumandang satu persatu melalui corong-corong yang ada di setiap blok. Maka ketiga-tiganya dilagukan satu persatu oleh semua pelajar dengan penuh semangat. Apabila selasai menyanyikan lagu-lagu berkenaan, Qalif sebagai ketua pelajar akan memimpin semua pelajar untuk mengucapkan ikrar pelajar berserta Rukun Negara. Setelah masuk ke kelas, giliran wakil dari Jawatankuasa Persatuan Pelajar Islam yang bertugas pula memimpin semua pelajar islam memanjatkan doa.  Maka dengan itu, sesi persekolahan pun bermula.
Loceng berbunyi dua kali. Itu maknanya waktu rehat telah tiba. Qalif mengangkut bungkusan nasi lemak misterinya ke kantin sekolah. Di dalam perjalanan, dia terserempak dengan Julia. Manis senyuman yang dilemparkan oleh gadis itu. Gadis yang berjaya mencuri hati Qalif itu dikelilingi oleh teman-teman rapatnya yang sama-sama cantik dan comel.
Qalif menegur Julia serta sahabat-sahabatnya ketika mereka sedang asyik berbual sambil bergosip. Bungkusan nasi lemak yang dibimbitnya lantas dihulurkan buat Julia.
“Apa ni?” Julia buat-buat bertanya.
“Nasi lemak untuk awak?”
“Iya? Awak tak makan sama?”
“Tak apalah, saya dah makan kat rumah tadi. Masih kenyang lagi ni,” terang Qalif.
Bungkusan tersebut terus dibuka. Terlambaklah nasi lemak ayam yang kelihatan enak sekali. Ada sambal ayam. Ada belahan telur rebus dan juga timun. Juga ada kangkung dan kiub ubi kentang goreng di dalamnya. Sambalnya yang pedas-pedas manis bisa menaikkan lagi selera si pemakannya.
“Rasalah...” tegur Qalif.
Julia mengangguk. Sesudu nasi disuap ke mulut bersama sambal ayam. Selepas sesudu, sesudu lagi masuk ke mulutnya.
“Ermm... Sedaplah,” puji Julia.
Kembang kempis Qalis bilamana dipuji oleh buah hatinya itu.
“Lain kali bolehlah awak belanja saya lagi,” pinta Julia manja.
Qalif tak putus-putus menguntum senyum.
Dari jauh, Airis yang berseri-seri dengan semangat baru, bangkit dari duduknya. Memerhati dan terus memerhati akan gelagat Julia dan Qalif dari jauh.
Aih! Gediknya perempuan tu. Dahlah tu, pelahap betul. Macam tak pernah jumpa nasi lemak ayam pula. Aku tahulah yang nasi lemak mak aku tu memang hebat rasanya. Naik juling kau basuh selera yer, bebel Airis dalam hati sambil rasa tak puas hati terus bermekar di dalam hatinya.
Airis ingin beredar. Kakinya diangkat melangkahi kerusi kantin. Terkasima sahabat-sahabatnya yang lain bilamana terlihatkan bungkusan nasi lemak yang ditinggalkan di atas meja kantin.
“Ehh... Ai... Nak ke mana tu?” soal Zarra satu-satunya sahabat perempuan yang benar-benar ikhlas bersahabat dengan Airis. Yang lain-lain semuanya rapat dengan makna.
“Ai... Airis!” laung Zarra sambil bangkit.
Qalif menoleh apabila terdengarkan laungan nama Airis.
“Airis! Ni, nasi lemak kau ni,” terang Zarra lagi. Bungkusan nasi lemak tersebut disuakan kepada Airis. Namun, Airis tak menoleh langsung.
“Kau makanlah... Aku tak lapar,” laung Airis ketika meluru pergi.
Qalif seakan terpinga-pinga. Otaknya tiba-tiba jadi kosong.
“Kenapa? Kenapa?” soal Razman kepada Zarra.
“Entahlah, tadi bukan main lapar lagi si Airis tu. Tak menyempat-nyempat nak makan nasi lemak ni. Alih-alih, dia pergi macam tu aje. Nasi lemak ni langsung tak dijamah sedikit pun.”
“Hermm... Kes nasi lemaklah ni,” sampuk si Azman.
“Kes nasi lemak?” soal Zarra kepada Azman.
“Hurm… Nasi lemak misteri,” jelas Azman.
“Mengarutlah…” balas Zarra sinis.
"Ehh.. Iya.  Tak percaya?" soal Azman kembali.
Zarra mencebik ke arah Azman. Bungkusan nasi lemak yang ditinggalkan oleh Airis terus dibuka. Maka aromanya terus menerawang ke udara. Dah perutnya memang lapar pada ketika itu, memang rezekilah namanya.
Buntang mata si Azman. Sekejap dia memandang ke meja Zarra, sekejap lagi dia menjenguk pula ke meja sebelah yang diduduki oleh Julia serta rakan-rakannya termasuk Qalif.
“Bulat...” panggil Azman sambil menarik lengan Razman yang sedang memegang roti sosej.
“Hermm...” balas Razman yang berhajat untuk melabuh punggung di sebelah Qalif.
“Tunggu...” Razman ditegah duduk.
“Apa? Aku nak makan ni. Lapar.”
“Nasi lemak.”
“Roti sosej jer. Bila masa pula aku beli nasi lemak?” ujar Razman sambil mengunyah roti ditangannya.
“Haish! Sinilah”
Razman menurut.
“Kau tengok Zarra. Kau tengok Julia.”
Razman menurut betul-betul seperti yang diarahkan oleh Azman. Sekejap toleh kiri dan sekejap lagi menoleh ke kanan. Berulang kali.
“Bukan muka merekalah. Cuba tengok nasi lemak tu hah.”
Razman akur pada arahan sahabatnya itu.
“Hurm.. Nampak tak? Nampak? Apa yang sama?”
“Ermm.. Dua-dua tu nasi lemak ayam. Kenapa?”
“Cubalah kau tengok betul-betul.”
“Agak-agak kau, sama tak nasi tu?” soal Azman.
“Lebih kuranglah."
“Jangan main-mainlah. Cuba serius sikit,” tegur Azman geram.
Razman akur kepada arahan sahabatnya itu, kali ini.
"Ermm... Sama! Sangat sama!” terkedu Razman seketika. Matanya difokuskan lebih tepat ke arah kedua-dua bungkusan nasi lemak tersebut.
“Kau pasti?”
“Aku memang pasti.”
“Aih! Dah macam polis pula aku,” ujar Razman. Kedua-dua keningnya diangkat-angkat. Tersenyum.
“Seriuslah!”
“Iyalah. Aku seriuslah ni. Sama,” beriya-iya Razman mengesahkan.
Mereka berdua pun saling berpandangan. Menyeringai tersengih.
“Juuu... Mana hang beli nasi lemak ayam tu? Nampak sedaplah,” soal Razman ketika melabuh punggung di sisi Qalif.
“Qal beli...” ringkas jawapan Julia. Dia masih asyik menyuap nasi tersebut ke mulut.
Razman dan Azman serentak memaut pandang pada Qalif. Qalif hanya tersenyum.
Azman dan Razman saling berpandangan.
“Checkmate!” ujar Azman.
Kedua belah tangan Razman menunjukkan isyarat mengapa.
“Aiman tak kisahhhh,” ujar Azman lucu.
Berderai tawa mereka berdua.
“Dah korang berdua ni kenapa? Cepat sikit makan tu, nanti waktu rehat tamat, baru padan muka tu. berlaparlah sampai tengahari nanti.”
Qalif tiba-tiba bangkit.
“Kau pula nak ke mana tu?”
“Cari Airis sekejap. Aku lupa nak bagi dompet dia pagi tadi,” ujar Qalif separa berbisik. Tak mahu jawapan itu sampai pada pendengaran Julia.
“Hurm... Elok sangatlah tu. Kang berlapar pula dia,” balas Azman.
“Almaklumlah, bekalannya dah didermakan pada orang lain. Sama sebiji macam kau,” sambung si Razman.
“Korang ni kenapa tak habis-habis bercerita tentang topik nasi lemak sejak pagi tadi ni?” 
“Topic of the day is nasi lemak. What do you feel today when you received a nasi lemak from someone mistery?”
“Lawaklah korang ni,” ujar Qalif sebelum pergi.

Setelah hampir lima minit menunggu di tepi padang, Airis akhirnya muncul. Namun, gadis muda itu berpatah balik bila ternampakkan Qalif sedang duduk di bangku batu yang selalu menjadi tempat lepaknya. Bunyi ranting kayu dipijak membuatkan Qalif menoleh ke belakang. Airis yang kelihatan melangkah dengan berhati-hati langsung dipanggil.
“Ai! Tunggu,” Qalif bangkit mendapatkan Airis.
Namun Airis buat-buat tak dengar.
“Ai...”
“Airis!” tubuh kurus itu berjaya dipintas.
“Kenapa? Marah aku duduk tempat kau?”
Airis buat-buat tak dengar. Selamba sahaja mukanya. Malah wajah Qalif langsung tak dipandangnya.
“Aku cakap dengan kau ni, Ai. Jawablah. Tengok muka aku ni.”
“Ada nama aku kat situ ker?” balas Airis akhirnya bersuara. Matanya bulat merenung wajah lelaki di hadapannya. Tak berkedip.
“Memanglah tak ada. Tapi aku tahu, itu port lepak kegemaran kau. Yang engkau marah sangat kat aku ni kenapa?”
“Ada aku marah kau ke?”
“Habis, yang terjengket-jengket melangkah tadi tu bukan cubaan nak lari daripada aku?”
“Terpulang. Kalau itu yang kau rasa. Aku boleh buat apa?
“Apa ni, Ai?
“Apanya? Kau nak apa daripada aku? Aku ada hal ni. Anu nak cepat,” tegas Airis.
“Tak ada apa pun. Aku cuma nak bagi dompet ni hah. Tertinggalkan, pagi tadi?” lantas dompet yang dikeluarkan dari kocek seluarnya diserah pada Airis.
 “Pergilah makan. Nanti loceng bunyi pula,” pesan Qalif.
“Terima kasih.”
Maka dengan itu, dompet tersebut pun bertukar tangan.
 “Kau dah makan?” Airis tiba-tiba menyoal.
“Aku kenyang lagi, tadi dah sarap nasi lemak ayam kat rumah ibu.”
“Aku pergi dulu,” ujar Airis sambil teragak-agak untuk menguntum senyum.

Qalif memerhati Airis sehingga hilang disebalik bangunan tiga tingkat itu. Namun hatinya mula berbunga-bunga bilamana wajah redup Airis kelihatan kembali bercahaya. Tak lama kemudian, loceng pun berbunyi dua kali menandakan waktu rehat telah pun tamat.

Qalif mengemas meja tulisnya sementara menantikan guru bertugas masuk untuk mengajar. Buku teks matematik tambahan dikuit sedikit ke tepi. Bola matanya menangkap sesuatu di sebalik plastik lutsinar pembalut meja. Maka dengan itu, perlahan-lahan tangan kanannya dibawa melurut pada permukaan meja tersebut. Dengan penuh berhati-hati, dia memasukkan tangannya disebalik plastik lutsinar berkenaan bagi mengeluarkan secebis nota yang kelihatan masih baru tersisip di situ.

“Macammana aku boleh tak perasan ada nota bawah plastik pembalut meja aku ni?" perlahan Qalif menyoal dirinya sendiri.
Cebisan kertas biru, dibuka lipatannya.

Salam perkenalan. Moga2 Allah memberkatimu sentiasa. 
Mulakan pagimu dengan senyuman. Lewati hari-harimu dengan sejuta kenangan...


Perlahan-lahan ulas bibir itu mengukir senyum. Nota kecil yang bertulisan tangan tersebut terus ditatap. Cantik tulisannya. Mungkin setulus hati penulisnya.


Pedihnya Cinta: 30

I'll never let you go...

DATIN FARIDA sibuk menyiapkan persediaan untuk majlis pertunangan anak lelakinya. Semuanya dilakukan sendiri tanpa bantuan dan pandangan dari Engku Najehah. Akhir-akhir ini Engku Nejehah lebih banyak berdiam diri dari lantang bersuara seperti sebelumnya. Dia juga banyak menghabiskan masanya di dalam bilik. Mungkin dia sendiri tidak selesa dengan tindakan anak perempuannya itu. Malah dia juga tidak beberapa selesa melihatkan anaknya sibuk menguruskan majlis yang bakal berlangsung pada hujung minggu nanti. 
Manakala Nur Aisya pula sering kelihatan di dapur bersama-sama Saerah. Pada kebiasaannya dia banyak menghabiskan waktu-waktunya di pondok belakang banglo sekiranya berada di Teratak Najehah.  Sesekali dia membawa diri pulang ke Villa Najehah berseorangan. Perlahan-lahan dia cuba menjarakkan dirinya daripada Tengku Faiq. Namun begitu, Tengku Faiq sendiri tidak banyak bersuara sejak akhir-akhir ini.
Memandangkan hari ini adalah hari minggu, Nur Aisya  telah ada di dapur pada awal-awal pagi lagi. Bukan untuk menyediakan juadah pagi, tetapi dia menghabiskan masanya untuk menjadi pemerhati. Sedang dia asyik melayan hati di dapur, terlintas di fikirannya akan idea untuk membakar kek buat minum petang nanti. Dia bingkas bangkit dari kerusi lalu mula menyelongkar isi perut kabinet dapur. Barang-barang yang diperlukan untuk projek membakar kek petang nanti terus diperiksa satu persatu. Jika semua bahan-bahan yang diperlukan ada dalam simpanan, bolehlah diteruskan projek tersebut lepas makan tengahari nanti. Hasil dari cariannya, cuma pewarna makanan berwarna merah dan juga cuka masih belum ditemukan.
“Erah, pewarna merah ada lagi tak?” tanya Nur Aisya.
“Ehh… Ada lagi rasanya. Tak ada ker kat situ? Cuba awak cari betul-betul,” tanya Saerah pula.
“Ohh… Ada yer. Manalah pula duduknya ni. Macam tak ada jer,” kata Nur Aisya. “Ermm.. Cuka?” soal Nur Aisya lagi.
“Kalau dah tak jumpa tu, dah habislah agaknya. Tapi cuka memang ada lagi. Cuba tanya pada Mak Nah. Nak buat projek apa pula hari ni?” Saerah bertanya lagi.
“Projek baru. Tapi kalau tak cukup bahan, terpaksalah Aisya batalkan projek ni,” jelas Nur Aisya.
“Ermm.. Jikalau pewarna merah tak ada kat kabinet tu, cuba Aisya periksa kat stor. Mana tahu ada lagi stok kat situ. Mak Nah pun selalu simpan cuka kat sana.”
 “Ni pasti kek lagi. Tapi kek apa pakai cuka segala ni,” sambung Saerah pelik.
“Adalah. Tungguuuu…” jawab Nur Aisya tertawa. Ternganga Saerah dibuatnya.
“Kenapa, Erah?” soal Nur Aisya kemudiannya.
“Hish! awak ni. Dalam masa-masa macam ni pun awak boleh lagi gelak-gelak. Pelik pula kita tengok tau,” terang Saerah sambil tergaru-garu kepalanya yang tak gatal pun.
“Orang selalu bercakap yang dunia ni hanyalah pinjaman semata-mata. Jika dah sampai waktunya, kenalah kita redha apabila sesuatu itu dipulangkan kembali kepada yang lebih berhak,” ujar Nur Aisya sambil berseloroh.
“Memanglah segala-galanya pinjaman, awak. Tetapi bukan pada pernikahan. Takkanlah pernikahan kita juga tergolong dalam pinjaman juga. Biar betul awak ni,” kata Saerah.
Nur Aisya terus tersenyum.
“Kalau macam Mak Nah dengan Pak Ali tuh tidaklah. Tapi kalau dah macam kami ni, memang pinjamanlah semata-mata,” balas Nur Aisya tertawa kecil. Sayu pula bunyinya.
“Hish! Ada ke patut awak cakap macam tu,” bidas Saerah.
Sedang Saerah terpinga-pinga, Mak Nah pun muncul. Perdebatan mereka pun berakhir di situ sahaja. Masing-masing saling berpandangan sesama sendiri.
“Aik! Apasal semua orang pandang Mak Nah macam orang nampak hantu aje ni?” tanya Mak Nah kehairanan.
“Tak ada apa-apa,” mereka menjawab serentak.
“Ohh! Ni mesti mengumpat Mak Nah yer,” teka Mak Nah sambil menyinggahkan pandangannya pada wajah Nur Aisya dan Saerah.
“Tak adalah Mak Nah. Mana ada mengumpat, memuji lagi adalah,” balas Nur Aisya mengenyit mata.
“Boleh percaya ker ni?” tanya Mak Nah.
“Boleh! Seratus peratus boleh,” jawab Saerah.
“Oh yer, Aisya. Mak Engku nak jumpa dengan Aisya sekarang. Dia tunggu kat bilik.”
“Yer ker, Mak Nah. Kalau macam tu, Aisya naik dululah yer,” jawab Nur Aisya.
“Awak, lepas ni kita sambung ye. Aisya naik sekejap aje,” pesan Nur Aisya kepada Saerah dan kemudiannya melangkah pergi.
Pintu bilik Engku Najehah diketuk perlahan. Nur Aisya pun masuk lalu daun pintu tersebut kembali tertutup rapat. Salam diberi. Dari jauh kedengaran Engku Najehah menjawabnya.
            “Nenda nak jumpa dengan Aisya?” soal Nur Aisya sambil mengambil duduk di sisi wanita tua itu.
            “Ermm..” jawab Engku Najehah sepatah.
Keadaan menjadi sunyi seketika. Tiada seorang pun yang bisa memulakan kata-kata. Nur Aisya mula tertanya-tanya.
            Beberapa ketika kemudiannya Engku Najehah menyapa, “Aisya sihat?”      “Alhamdulillah. Sihat. Cuma selesema jer sikit. Nenda pula bagaimana?” balas Nur Aisya sopan.
            “Alhamdulillah.”
            Tangan Engku Najehah merayap di atas pergelangan tangan Nur Aisya.
“Boleh Nenda ambil masa Aisya sedikit? Ada perkara yang nenda hendak Nenda bincangkan.”
“Boleh Nenda. Tak ada salahnya.”
“Nenda ada dengar berita tentang Aisya daripada Mama. Nenda nak dengar sendiri daripada mulut Aisya. Apa betul Aisya benar-benar ikhlas mengizinkan Faiq bernikah lagi?” terang Engku Najehah.
            Fuh! Sentap punya soalan. Macammanalah aku nak jawab ni, kata Nur Aisya perlahan. Mindanya mula bermain-main dengan kata-kata. Apakah yang harus dia perjelaskan di sini. Adakah harus dia perjelaskan rasa serba salah yang selalu bersarang dimindanya. Terkelip-kelip matanya cuba menyusun kata-kata.
            “Benar, Nenda. Sungguh seperti mana yang Mama ceritakan pada Nenda tu,” jawab Nur Aisya terkebil-kebil.
            “Nur Aisya! Berterus teranglah. Tak perlu malu-malu, Sayang. Juga tak perlu takut. Aisya terus terang saja dengan Nenda. Jika Aisya tak setuju, katakan tak setuju,” terang Engku Najehah.
            “Sungguh Nenda. Memang Aisya izinkan,” jelas Nur Aisya perlahan.
            “Kalau begitu keputusan Aisya, Nenda tak boleh nak bantah. Tapi Nenda nak Aisya tahu sesuatu. Walau apa pun terjadi, Aisya tetap ada hak ke atas diri Faiq. Dia tetap suami Aisya. Dalam apa jua keadaan, Aisya tak boleh mengalah. Aisya berhak pertahankan rumahtangga Aisya dan juga hak Aisya sebagai salah seorang isteri. Ingat tu,” pesan Engku Najehah.
            “Aisya janji dengan Nenda yer,” sambung Engku Najehah lagi.
            “In shaa Allah,” jawab Nur Aisya sepatah.
            “Ermm... Nenda ingin tahu sesuatu. Harap Aisya jawab dengan jujur,” kata Engku Najehah.
            “Apa dia nenda?”
            “Aisya tak pernah sayang Faiq ker?”  sayu renungan Engku Najehah ketika mengutarakan soalan tersebut.
            Bergetar-getar bibir Nur Aisya untu menjawab soalan tersebut. Airmatanya deras mengalir. Melihatkan deraian air mata itu, Engku Najehah sepertinya dapat membaca akan jawapan yang sepatutnya terucap daripada bibir anak muda itu. Rebah tubuh kurus itu dibahunya. Tersesak-esak menahan sedih. Belakang tubuh yang terhenjut-henjut itu lantas diusap perlahan-lahan.
            “Sabar, Sayang. Nenda tahu, Aisya mampu hadapinya,” pujuk Engku Najehah.
“Assalamualaikum,” ucap Tengku Faiq yang yang menjengah di kuka pintu. Kebetulan, dia muncul diantara perbualan Engku Najehah dan Nur Aisya. Wajah cerianya berubah muram bilamana terpandangkan keadaan isterinya.
Cepat-cepat Nur Aisya menyeka airmatanya. Sebuah senyuman segera dilemparkan.
“Masuk, Faiq. Duduk sini,” ajak Engku Najehah.
Tengku Faiq berjalan menghampiri isterinya yang duduk di sisi nendanya. Senyuman Aisya dibalas. Aisya menghinsut ke tepi, memberi ruang kepada suaminya.
“Wah! Ada persidangan apa ni?” soal Tengku Faiq memulakan bicara.
“Tak ada apa-apa. Nenda saja berbual-bual dengan Aisya. Susah betul nak jumpa dia
akhir-akhir ni,” jelas Engku Najehah.
“Orang sibuk, Nenda. Komited dengan novel-novelnya. Memang susah nak jumpa. Memerap aje,” tambah Tengku Faiq ceria walau dihatinya berkata-kata.
“Dia komited dengan novel. Kamu? Komited dengan apa? Susah benar nak berjumpa dengan nenda. Dating dengan bakal isteri baru?” perli Engku Najehah selamba.
Berdesing telinga Tengku Faiq bila disindir oleh Engku Najehah sedemikian rupa. Terasa ingin sahaja dia meninggalkan wanita tua di hadapannya itu sesegera yang boleh. Nur Aisya masih terus membisu. Tak berani nak bersuara. Namun begitu, tangan kiri Tengku Faiq digenggam erat bilamana terlihatkan riak wajah suaminya yang mula berubah tatkala diperli oleh Engku Najeheh. Tengku Faiq memandang Nur Aisya sekilas.
“Kamu marah pada Nenda?” soal Engku Najehah kepada cucunya.
“Tak adalah Nenda,” jawab Tengku Faiq malas-malas.
“Habis, mengapa tarik muka. Tak benarkah apa yang Nenda katakan tadi tu?” persoal Engku Najehah lagi.
“Tapi nak buat macammana. Kamu berdua dah besar panjang. Pandai berfikir sendiri. Bijak memutuskan keputusan sendiri. Nenda ni orang tua, buat apa nak masuk campur hal-hal orang muda,” jelas Engku Najehah lagi.
“Tapi kami tak maksudkan begitu, Nenda,” balas Nur Aisya lembut.
“Memang kamu tak maksudkan begitu. Itu Nenda faham. Kamu berdua terpelajar orangnya, buatlah keputusan masing-masing. Kalau keputusan itulah yang kamu berdua rasakan terbaik, silakan. Nenda tak akan masuk campur lagi akan hal-hal rumahtangga kalian. Iyalah, Nenda ni kolot. Nenda minta maaf banyak-banyak sebab dah porak perandakan masa depan kamu berdua. Nenda ingat Nenda boleh lihat kamu berdua hidup bahagia seperti orang lain, tapi Nenda salah. Nenda doakan kamu berdua bahagia dengan keputusan yang kamu ambil ni,” bebel Engku Najehah memandang terus ke arah cucunya.
“Nenda salah faham ni. Faiq…” celah Tengku Faiq dalam pada cuba untuk membela diri. Nur Aisya cuba menenangkan suaminya. Tangannya yang mendarat di atas peha kiri suaminya berjaya mematahkan niat Tengku Faiq dari terus bersuara. Malahan tanganya pula digenggam erat oleh si suami.
Thank you, Sayang. Hanya Sayang seorang yang memahami jiwa Abang, bisiknya dalam hati.
“Faiq… Walau kamu dah ada keluarga baru nanti, Aisya masih lagi dibawah tanggungjawab kamu selagi dia masih bergelar isteri kamu. Jangan sekali-kali abaikan dia. Pandai-pandailah kamu bahagi-bahagikan masa kamu untuk kedua-duanya.”
Bergenang kembali airmata Nur Aisya. Saya hatinya apabila mendengarkan nasihat itu.
“Aisya.. Jangan pernah lupakan janji kamu pada Nenda tadi,” Engku Najehah  mengingatkan cucu menantunya.
Rasa kecewa yang teramat dapat dilihat pada raut wajah wanita tua berkenaan. Tapi apakah daya, yang punya diri juga merelakan. Dia harus hormati keputusan yang dibuat oleh isteri cucunya itu walau dihatinya sendiri tidaklah merestui.
Nur Aisya dan Tengku Faiq beriringan keluar meninggalkan bilik Engku Najehah.
“Macammana Aisya boleh ada dalam bilik Nenda?” bisik Tengku Faiq kepada isterinya.
“Nenda  yang panggil Aisya,” jawab Nur Aisya perlahan.
“Nenda tanya apa?”
“Ermm.. Tak ada apa-apa. Kami hanya berbual-bual kosong jer. Nenda cuma mahukan kepastian dari Aisya sendiri.  Itu aje,” balas Nur Aisya jujur.
“Ermm... Nenda nak jumpa awak juga?” soal Nur Aisya.
“Tak. Kebetulan I memang nak berjumpa dengan Nenda. Dah lama tak sembang-sembang. Tapi tak sangka pula nak kena tembak dengan peluru berpandu macam tadi,” terang Tengku Faiq.
“Itulah, awak masuk salah waktu. Padan muka,” tegur Nur Aisya terkekeh-kekeh.
Pinggang ramping  Nur Aisya terus dirangkul oleh Tengku Faiq.
“Ni mesti ada apa-apa kan?” duga Nur Aisya malu-malu. Merah mukanya. Telunjuknya tegak disua ke arah si suami.
“Buatkan I kopi panas boleh?”
“Hah... Aisya dah agak dah pun.”
“Lepas tu, temankan I kat bilik. Stress. I perlukan you di sisi I sekarang.”
“Awak pergi mandi dulu. Sekejap lagi Aisya hantarkan ke bilik ye,” pinta Nur Aisya untuk ke dapur.
“Thank you, Sayang,” melekat sekuntum kucupan di pipi kanan Nur Aisya.
“Awak! Malulah kalau ada yang nampak,” bisik Nur Aisya perlahan.
“Biarlah. You isteri I..” balas Tengku Faiq sebelum beredar ke kamar. Bersiul-siul kedengarannya.
“Macam-macamlah awak ni,” rungut Nur Aisya bahagia.

Dari ruangan makan, mereka beralih pula ke ruang tamu. Jasmeen mengambil duduk di sisi Tengku Faiq. Mereka asyik berbual tentang persiapan hari yang penuh bermakna buat mereka berdua nanti.  Hiasan dulang hantaran bagi kedua-dua belah pihak telah siap diupah di butik pengantin. Majlis pertunangan tersebut bakal diadakan di rumah keluarga Jasmeen sendiri. Maka segala urusan berkaitan jamuan dan persiapan majlis nanti merupakan hasil kerjasama antara Puan Sri Latifah sendiri dan perancang majlis.
Nur Aisya muncul di ruang berkenaan dengan sekuntum senyuman yang dilemparkan buat kedua-duanya. Jus oren dituang ke dalam gelas-gelas berkaki lalu disuakan buat Tengku Faiq serta tetamunya itu. Setengah jam yang lalu, mereka telah dijamu dengan menu laksa Johor yang menjadi kegemaran Tengku Faiq.
“Jemputlah Cik Jasmeen. Tengku,” pelawa Nur Aisya perlahan.
Tengku Faiq tak berkelip memerhati tingkah laku isterinya itu. Sedikit pun tidak terlakar akan riak kecewa pada raut wajah wanita itu malah sebaliknya dia terus menguntum senyum buat kedua-duanya.
“Thanks...” balas Jasmeen.
“Oh ya, saya nak jemput Nur Aisya datang ke majlis kami nanti. Jangan tak datang ye,” ajak Jasmeen.
“In shaa Allah,” ucap Nur Aisya.
Tengku Faiq terus membisu. Sesekali kelibat isterinya dilirik melalui ekor mata. Tak berkalih-kalih. Mujurlah tak disedari oleh Jasmeen.
“Janji. Jangan tak datang,” pujuk Jasmeen lagi.
“Kalau tak ada aral melintang, saya pasti sampai di rumah keluarga Cik Jasmeen,” jawab Nur Aisya lembut.
“Faiq, kalau dia tak datang apa kita nak buat?” soal Jasmeen kepada bakal tunangnya. Lengan Tengku Faiq dikuis.
Tengku Faiq hanya tersenyum. Wajah Nur Aisya terus-terusan direnung tetapi tidak secara curi kali ini.
“Apa kata kita potong gaji dia sebagai denda!” seloroh Jasmeen lalu tertawa. Bergemar ke seluruh ruangan tersebut.
“Takkanlah sampai nak potong gaji saya, kot. Kalau begitu, terpaksalah saya hadir juga,” jawab Nur Aisya memandang sekilas wajah suaminya.
“Mestilah. You dah engkar perintah majikan. Orang yang engkar haruslah diberi denda,” terang Jasmeen.
“In shaa Allah.  Jika ada kesempatan, saya pasti akan hadir. Cuma saya tak berani nak janji. Jemputlah jamah hidangan ni, Cik Jasmeen,” pelawa Nur Aisya sekali lagi.
“Silakan Tengku.”
“Wow! Red velvet cake,” kata Jasmeen.
“Aisya!” laung Jasmeen.
Nur Aisya yang sedang melangkah meninggalkan ruangan tersebut pun berhenti. Dia berpaling memandang ke arah Jasmeen yang riang di sisi bakal tunangannya.
“Saya mahu blueberry cheees cake sebagai hadiah pertunangan saya, boleh? Dan tolong rekakan kek perkahwinan kami nanti,” pinta Jasmeen menyengih.
Nur Aisya kembali merapat ke arah kedua-duanya.
“Saya ni bukannya profesional, Cik Jasmeen. In shaa Allah, jika kesihatan saya mengizinkan,” jawab Nur Aisya tersenyum tawar.
Tengku Faiq menggiringi pemergian isterinya dengan lirikan pada hujung mata. Sempat pula dia mengenyit mata kepada isterinya. Tergamam Nur Aisya seketika.
“You, bertuahlah kepada sesiapa yang menjadi suami kepada maid you tu kan? Hari-hari boleh makan kek sedap-sedap macam ni,” kata Jasmeen sinis.
“Correction, Jasmeen. She’s not my maid,” bidas Tengku Faiq tegas.
“Garangnya,” luah Jasmeen sedikit kecewa. Boleh pula bakal tunangnya itu membela status Nur Aisya.
“I bukannya marah. Tapi itulah kenyataannya. Dia bukan seperti yang awak katakan sebentar tadi.”
“Okaylah. Sorry. Habis, dia tu siapa? Maid keluarga you?”
Tiada jawapan.
“Never mind. Who ever she is, she look too special to your family. And back to the
question just now..” luah Jasmeen beriya-iya.
“Bertuah?” soal Tengku Faiq.
“Yes please,” balas Jasmeen yang benar-benar ingin tahu akan komen si kacak.
“Bagi seorang hantu pastri dan kek macam you ni, memanglah boleh dikatakan bertuah dapat Nur Aisya. Tapi sebaliknya jika orang tuh jenis macam I ni. You buatkanlah I kek sebesar rumah pun, ia tak akan memberi apa-apa impact kepada I,” jelas Tengku Faiq tertawa.
“You memang. Tak ada jiwa,” balas Jasmeen lantas mencebik.
“Walau tak ada jiwa pun, berderet yang menanti I tau. Tinggal I saja malas nak layan,” balas Tengku Faiq dengan egonya.
“Amboi riaknya,” bidas Jasmeen lagi.
“Nak riak tu, tak adalah. Tapi memang adalah orang yang sanggup bertahun-tahun menagih cinta I ni,” kata Tengku Faiq seraya menyindir secara lembut.
“You! Mengata I lah tu kan. Perasan. You ingat, you lelaki terbaik dalam seluruh Penang ni ke?” kata Jasmeen lagi.
“I taklah kata diseluruh Penang ni, tapi mungkin seantero dunia pun jelas tentang  hal itu,” tambah Tengku Faiq lagi. Berdekah-dekah tawanya.
“Ehh… Hello. Dunia, konon. Aisya yang ada dalam rumah ni pun tak tertarik langsung pada you. Ada hati nak pergi jauh, seantero dunialah sangat,” kata Jasmeen mencebik lagi.
“Ehh... Bagaimana you pasti yang dia memang tak ada hati dekat I?” balas Tengku Faiq.
“Dah jelas pun kan. Walau hari-hari you tercongok depan mata dia, sikit pun dia tak tergoda. Jeling you pun tidak. Tengok tadi. Selalunya mana-mana perempuan yang terpandangkan you walaupun sekilas, pasti naik sasau mereka dibuatnya. Orang segaklah katakan. Ada duit. Ada semua. Perempuan mana yang tak nak dekat,” ujar Jasmeen. Tertawa.
“Mana tau kalau-kalau dia malu nak mengaku depan I. Entah-entah setiap hari dia termimpi-mimpikan I,” bidasTengku Faiq yang juga turut sama tertawa.
“Perasan. Mana you tau?”
“I taulah. I dah nujum hati dia,” usik Tengku Faiq lagi. Sengaja nak menyakat Jasmeen. Biar sampai gadis itu melenting.
 “Atauuu..” Jasmeen mula menduga-duga.
“I lelaki, Meen. I ada hak untuk berdua. Bertiga. Ermm.. juga..” jari-jarinya menujukkan bilangan empat.
Belum pun sempat habis ayat si Tengku Faiq, Jasmeen pantas mencelah, “Malaslah nak layan. Dah nak bertunang pun masih nak buat perangai miang lagi.”
Tengku Faiq tersengih-sengih. Jikalau Jasmeen yang merajuk, dia peduli apa. Dia masih bisa tertawa gembira. Cuba tengok jika Nur Aisya yang baru didekatinya itu yang merajuk, mau tunggang terbalik dunia ini jadinya. Lebih-lebih lagi bila melihat mulut Nur Aisya yang muncung bagai itik serati tu. Bagaikan nak dikucup-kucup sampai hilang rajuk wanita itu.

Nantilah perempuan tu. Pandai betul dia berlakon yer. Tunggu malam ni. Taulah nasibmu Nur Aisya, Tengku Faiq berbicara dalam hati. Dia menyengih lagi.


Ikuti kisah selanjutnya,