Fikiranku melayang entah ke mana...
TENGKU
FAIQ dan
Nur Aisya tiba di Teratak Najehah tepat pada pukul sembilan malam. Tanpa disedari,
mereka sedang diperhati oleh Datin Farida yang duduk bersendirian di ruangan
famili. Dia bangkit dari duduknya lalu menegur si anak bilamana kelibat suami
isteri tersebut kelihatan berjalan beriringan menuju ke tingkat atas sambil
tertawa kecil.
“Dari mana?” soal Datin Farida serius memandang
menantunya.
“Ehh.. Mama. Dari Kuantan,” jawab Tengku Faiq.
“Aisya?” soal Datin Farida.
“Sama,” jawab Tengku Faiq lagi.
“Mama tanya Aisya. Kenapa kamu pula yang jawab?” terang
Datin Farida berbunyi tegas.
“Ermm.. Aisya juga dari Kuantan. Ikut Abang,” perlahan
Nur Aisya menjawab lantas menunduk.
“Buat apa ke sana?” soal Mamanya lagi. Keras intonasinya.
“Ada hal sikit,” ringkas pula jawapan daripada Tengku
Faiq.
“Mama nak jumpa Faiq sekejap,” jelas Datin Farida.
“Okay. Tapi Faiq nak naik atas mandi dulu, Ma. Lepas mandi
nanti Faiq turun,” jawabTengku Faiq kepada Mamanya.
“Cepat sikit,” Datin Farida mengingatkan. Sepertinya ada
sesuatu yang penting untuk dibincangkan.
Tengku Faiq menolak tubuh isterinya yang masih lagi tercegat
di depan pintu utama supaya segera bergerak ke tingkat atas rumah banglo
tersebut. Pintu kamar mereka ditolak perlahan dan Tengku Faiq meletakkan beg-beg yang
diangkatnya tadi di sisi katil.
“Laa.. kenapa tercegat lagi kat depan pintu tu?” soal
Tengku Faiq.
Nur Aisya
melangkah masuk. Perlahan.
“Itulah awak. Kenapa awak tak jawab call dari Datin,” Nur Aisya
bersuara.
“Tak ada apa-apalah. Janganlah fikir yang bukan-bukan,” balas
suaminya.
“Dan lagi satu.. Mama yer, bukan Datin.”
“Tak biasalah. Macam pelik jer.”
“Mula-mula memanglah terasa begitu. Jika awak dah ucap
hari-hari nanti, tentu tak pelik lagi.”
Bibir si isteri lambat-lambat mengukir senyuman.
Usai mandi, Tengku Faiq segera turun ke bawah. Mamanya
pasti sedang menunggu. Dia kemudiannya terus menuju ke bilik bacaan. Mamanya pasti
menunggu di situ.
“Sorry, Ma. Terlewat sedikit,” terang Tengku Faiq sambil memilih
untuk duduk di kerusi berhampiran dengan Mamanya.
“Ya, Ma. Ada apa tu?” tanya Tengku Faiq membuka bicara.
“Kenapa Faiq tak jawab panggilan Mama? Berkali-kali Mama
telefon Faiq, tahu tak. Dahlah nak ke mana pun tak bagi tahu,” Datin Farida
mula membebel.
“Faiq tak tahu pulak Mama nak balik sini lama sikit. Selalunya
sekejap saja. Bukankah Mama sepatutnya balik KL semalam?”
“Habis? Kalau Mama balik semalam, ada ker Faiq nak telefon
Mama dan bagitahu jawapan Faiq pada Mama?”
“Ma..”
“Itu sahajalah yang Faiq tahu. Bila mama tanya, Faiq
mengeluh.”
“Okay, Faiq minta maaf.”
“Mengapa Faiq tak jawab panggilan Mama? Mana pergi
telefon Faiq? Si Aisya tu pun sama.”
Tengku Faiq diam tanpa jawapan. Dia mengurut-urut
tengkuknya.
“Nak cari alasanlah tu. Bukan Mama tak kenal sikap anak
Mama ni.”
Tengku Faiq kalah. Sepasang matanya di bawa menatap wajah
si ibu. Merayu.
“Tentang Faiq dengan Syarifah Jasmeen..” sambung Datin
Farida.
“Allahuakhbar..”
“Apa kena mengena pula Faiq dengan Meen?” sambung Tengku
Faiq lagi.
“Dua minggu lagi, kamu berdua akan bertunang.”
“Ma! Apa ni? Siapa pula yang nak bertunang?” Tengku Faiq
yang terkejut, pantas menyoal kembali. Punggungnya dialih duduk. Biar
betul-betul menghadap mamanya.
“Iyerlah, bertunang. Kamu dengan Syarifah Jasmeen.”
Perit dada dan telinga Tengku Faiq mendengarkan
pernyataan Mamanya. Lebih perit lagi kalau-kalau berita itu bisa didengari oleh
isterinya. Jantungnya bagaikan nak berhenti berdegup bila mendengarkan khabar
itu sebentar tadi. Tergerak-gerak rahangnya untuk berbalas kata, tinggal sang
suara sahaja yang tak mahu terlontar keluar. Dia lantas terdiam. Baru semalam
lembaran baru perkahwinannya dibuka, tak kan hari ini lembaran tersebut harus
ditutup kembali. Gelisah.
Apa ni? Bagaimana harus dia berdepan dengan Nur Aisya?
Mama pasti memperkotakan janji-janjinya. Dia kenal sangat dengan sikap mamanya.
Ohh.. Mama, dengus Tengku Faiq. Menupang kepalanya dengan tangan.
Melihatkan riak
wajah Tengku Faiq yang tidak beberapa ceria, Datin Farida bersuara lagi, “Mama
dan Papa dah berbincang dengan keluarga Jasmeen. Mereka semua dah setuju. Dalam
seminggu dua ni, Faiq dan Meen akan ditunangkan.”
“Apa ni, Ma? Apa yang Mama mengarut ni?”
“Apasal tak berbincang dengan Faiq dulu?” bertalu-talu Tengku
Faiq menyoal sambil meraup wajahnya.
“Alah, sama je kan,” jawab Datin Farida.
“Sampai hati Mama buat Faiq macam ni.”
“Faiq! Kamu bahagia ker hidup macam ni?”
“Faiq semakin tak fahamlah dengan sikap Mama ni. Mama
sepatutnya bantu Faiq selesaikan
konflik rumahtangga kami. Bukannya bantu Faiq dengan cara yang begini,” luah
Tengku Faiq.
“Ai.. Aisya ..” Tengku Faiq menggeleng dan meraup
wajahnya kali kedua. Mengeluh.
“Mama dah pernah berbincang dengan Aisya. Dia tak cakap
apa-apa pun,” jelas Datin Farida selamba.
“Bila? Bila masa Mama bincang dengan dia?”
“Faiq jangan macam-macam tau. Semuanya kami dah atur.
Keluarga Meen tak mahu tunggu lama-lama. Usah pedulikan Nur Aisya,” terang
Mamanya lagi.
Keruh wajah Tengku Faiq. Bergenang air matanya. Seketika,
kedengaran dia mengeluh panjang. Jiwanya kembali kacau. Dia bangkit dari sofa lalu
meninggalkan Datin Farida berseorangan di bilik bacaan tersebut.
Dan sekali lagi dia tergamam. Tadi, dengan kejutan daripada
Mamanya. Kini, dia terserempak pula
dengan Nur Aisya sedang terpaku bersandar di tepi pintu bilik berkenaan. Dua
pasang mata bertentangan. Tiada disapa isterinya, malah dia mempercepatkan langkahannya menuju ke tingkat atas. Wajahnya kelihatan muram.
Masam mencuka. Manakala Nur Aisya yang terpinga-pinga terus menuju ke dapur. Hatinya
juga kacau.
“Siapa pula yang nak bertunang?” soal Nur Aisya perlahan.
“Takkan Abang?” ujarnya lagi sambil berfikir.
“Abang?” soal hatinya yang tiada berkesudahan.
“Takkan kot,” memujuk hati sendiri.
Telinganya bagaikan menafikan sesuatu. Mungkin dia yang
terlalu emosi, sehinggakan akalnya mula menafsirkan rasa pilu dengan berita
yang samar-samar didengarinya sebentar tadi. Tekaknya terasa kering. Dia mencapai sebiji gelas dari
dalam kabinet lalu menuang air suam dari jag kaca berdekatan. Fikirannya terus melayang-layang
entah ke mana.
Apa guna kau bersedih..
“Aisya!” tegur Saerah kalut sambil menunjuk air yang sedang
melimpah dari gelas milik Nur Aisya.
“Oppss!”
Nur Aisya segera
mencapai kain lap di tepi sinki. Tumpahan air segera dikeringkan. Air suam tadi
diteguk perlahan. Gelas yang telah pun kosong dibawa ke sinki untuk dicuci.
Sekali lagi fikirannya entah ke mana. Gelas tersebut terlepas dari tangan.
Pecah.
“Astagfirullah hal adzim. Pecahlah pula gelas ni,” luah
Nur Aisya kesal.
“Kenapa ni?” tanya Saerah hairan.
Pada pemerhatian Saerah selama ini, Nur Aisya seorang
yang tekun dan teliti dalam segala hal. Dia tak pernah berkelakuan selalai itu
di dapur. Inilah kali pertama dia melihatkan sifat luar biasa Puan Mudanya itu.
“Awak ada masalah ker?” tanya Saerah memberanikan
dirinya.
“Tak adalah. Aisya okay jer,” tepis Nur Aisya. Tak tentu
arah dibuatnya. Nur Aisya membuka pintu
dapur. Dia berhajat untuk memgambil angin di beranda luar. Mencari sedikit ruang
untuk berfikir serta bertenang.
“Aduh!” Nur Aisya menjerit
kesakitan.
“Kenapa tu?” jerit Saerah, berlari-lari anak mendapatkan
Nur Aisya.
“Tak ada apa. Tersepak kaki kerusi besi ni hah,” terang
Nur Aisya.
“Sakit betul,” balas Nur Aisya.
“Mau tak sakit. Dah namanya pun kerusi besi,” celah
Saerah lagi.
“Itulah pasal.”
“Berdarah ker?” soal Saerah kembali.
“Tak. Cuma sakit bawah kuku ni hah. Perit pulak. Terasa
macam nak tertanggal jer kuku ni. Macam manalah mata ni boleh tak nampak tadi.”
“Kalau mata nampak pun, tak sempat nak bagitahu ibu jari
kaki,” tambah Saerah jujur.
“Mengapa pula Erah cakap macam tu?” soal Nur Aisya
kosong. Kotak fikirannya bagaikan tak boleh berfungsi pada ketika itu.
“Dah tu fikirannya sibuk. Melayang-layang entah ke mana.”
“Ada-ada saja awak ni tau.”
“Kalau Erah nak tanya sikit boleh?”
“Ermm.. nak tanya apanya?” Saerah disoal kembali sambil
jari-jemarinya tetap mengurut-urut ibu
jari kaki.
“Tak marah erk?”
“Lah.. belum tanya, buat apa pulalah Aisya nak marah awak.”
“Betul ni?”
“Betul. Ada ker Aisya pernah marah sesiapa dalam rumah
ni?”
Saerah tetap teragak-agak
untuk bertanya.
“Tak pernah marah pun kan. Tanyalah. Nak segan buat apa.”
“Ke.. kenapa Erah tengok awak macam tak tentu arah saja
malam ni?” tanya Saerah ragu-ragu.
“Tak ada apa-apalah, Erah. Kenapa awak soal saya macam
tu? Saya nampak pelik ker tadi?” tanya Nur Aisya.
“Tak ada lah. Erah tengok awak lain sangat malam ni.
Selalunya awak tak macam ni. Macam kelam kabut sikit.”
Nur Aisya tiba-tiba tertawa. Manakala Saerah menjadi
semakin hairan.
Biar betul makcik ni, boleh pulak dia berdekah-dekah
tertawa dalam saat kritikal macam ni. Bertuah betullah makcik ni tau, bisik
hati kecil Saerah.
“Awak.. apa saja yang mendatang, itu pasti ujian dariNya.
Tentu ada hikmah disebalik semua dugaan ni. Kalau kebahagiaan itu bukan milik
kita sekarang, mungkin Allah dah mengatur kebahagian yang lebih baik dari ini
buat kita dimasa akan datang,” kata Saerah panjang lebar.
Nur Aisya tak
dapat mentafsir maksud kata-kata Saerah dengan tepat. Saerah mengatakan bahawa
dirinya agak luar biasa malam itu. Wal hal, keadaan yang sama juga turut dirasainya.
Saerah yang tidak beberapa mesra dengannya sebelum ini tiba-tiba lebar
berbicara.
“Maksud awak? Aisya tak faham,” soal Nur Aisya ragu-ragu.
Saerah menggenggam jari-jemari
Nur Aisya . Wajah mulus itu direnung dalam.
“Erah rasa, Erah tau apa yang mengganggu fikiran awak.
Pasal Tengku kan?” soal Saerah tenang.
“Pasal apa?” Nur Aisya
tak mahu terperangkap dengan kata-kata sendiri. Berkerut keningnya.
“Tentang kahwin,” genggaman Saerah semakin kuat.
Nur Aisya tersentak. Tiada sebarang komen yang berjaya terpacul
dari mulutnya.
“Erah minta maaf. Selama ni Erah dah salah anggap pada
awak. Erah tak suka pada awak.”
“Tapi bila Erah terdengar sembang Dato’ dan Datin tadi,
Erah menyesal. Erah rasa bersalah sangat pada awak. Erah tak sangka awak sebaik
itu. Suci betul hati awak, Nur Aisya. Kalau Erah lah di tempat awak, pasti Erah
tak boleh terima situasi macam ini,” bebel Saerah lagi.
“Awak tau sesuatu..” suara Nur Aisya mula mendatar. Matanya mula berkaca.
Saerah menggangguk perlahan. Airmatanya juga turut sama
gugur.
“Jadi, apa yang Aisya dengar tadi semuanya benar? Siapa
lagi yang tahu? Mak Nah?” soal Nur Aisya
lagi.
“Erah sorang jer,” jawab Saerah seraya memeluk tubuh Nur
Aisya yang kaku.
Pada masa yang sama, Tengku Faiq mengeluh panjang di
kamar tidur. Alat kawalan jauh televisyen dipicit-picit. Semua rancangan tak
berjaya menarik minatnya. Lehernya diurut-urut perlahan. Dia keliru. Telefon
bimbitnya dicapai. Hatinya berkecamuk. Kunci kereta dicapai. Keluar.
“Syaq! Mana?” soal Tengku Faiq, tekun memandu.
“Jumpa aku.”
“Tempat biasa,” kata Tengku Faiq lagi.
Ditelinga, masih terngiang-ngiang kata-kata Mamanya tadi.
Nur Aisya setuju?
Siapa dia nak buat keputusan bagi pihak aku? Aku ni siapa pada dia? bisik
Tengku Faiq marah.
Tak dinafikan, dia memang menyenangi Jasmeen. Tapi untuk
berkahwin dengan Jasmeen, kini dia keliru. Dia kenal sangat akan sikap Jasmeen
yang selalunya ingin dominan. Segala apa yang telah menjadi milik gadis itu,
akan tetap menjadi miliknya secara mutlak. Tak akan mungkin boleh dikongsi
dengan sesiapa pun. Silap-silap haribulan, keluarga sendiri pun boleh tercicir entah
ke mana. Nur Aisya pun satu hal. Ambil
ringan sungguh perempuan itu. Sangkanya pernyataan Nur Aisya untuk hidup berpoligami sebelum ini hanyalah
gurauan semata-mata. Dia jadi bingung dengan sikap Nur Aisya. Butakah hati
isterinya itu? Butakah gadis itu bahawa ruangan hatinya sudah sedia terbuka
untuk menerima selautan kasih daripada seorang isteri? Dia jadi tak kenal
dengan Nur Aisya, isterinya.
Tatkala hati ini jadi buntu..
Keretanya di parkir di bahu jalan. Lampu jalan
suram-suram menyinar. Sesekali kedengaran bunyi kenderaan yang lalu lalang
berselang selikan dengan bunyi ombak berlabuh menghempas ke pantai. Dia
bersadar di hadapan kereta. Terdapat beberapa bayang tubuh duduk bersantai di
tepian benteng batu.
“Hoi! Apa hal ni?”sergah Syaqir yang baru tiba.
Tiada sebarang reaksi daripada Tengku Faiq.
“Selalunya orang yang baru balik dari berbulan madu, mesti
terlebih gembira. Bersemangat. Senyum
sampai ke telinga. Tak ada perubahan pun. Macam orang mati bini jer aku tengok,”
tepuk Syaqir dari arah belakang.
“Mati-mati jangan sebut yer,” balas Tengku Faiq serius.
“Wow! Apa hal ni? Lain macam jer bunyinya,” Syaqir cuba memberikan
perhatian.
“Aisya..”
“Apasal pula dengan Aisya kau tu?” soal Syaqir
tertanya-tanya.
“Aku tak tahu apa nak jadi dengan perhubungan kitaorang ni,”
terang Tengku Faiq.
Kedua-dua kening Syaqir terangkat. Menanti penjelasan
sahabatnya dengan penuh kesabaran.
“Berserabut kepala otak aku ni,” sambung Tengku Faiq
lagi. Mengeleng.
“Apahal pula ni? Selalu aku tengok kau cool jer. Ini tiba-tiba macam ayam berak
kapur, apa cerita?” kata Syaqir tertawa.
“Aisya, izinkan aku kahwin lain.”
Berkerut kening si Syaqir dan beberapa ketika kemudiannya
dia tergelak besar pula.
Tajam mata Tengku Faiq merenung wajah lelaki itu.
“Okay. Serius,” ujar Syaqir kemudiannya.
“Kau boleh fikir tak? Gila apa bini aku tu?” soal Tengku
Faiq perlahan.
“Maksudnya?” Syaqir buat-buat tak mengerti. Siap dengan
bahasa tubuh sekali.
“Maksudnya apa benda? Dia bagi aku nikah lagilah. Apasal
kau slow sangat malam ni?” tempelak Tengku Faiq.
“Ohh..Wow! Kahwin lain?”
“Poligami? Okaylah tu,” tambah Syaqir lagi. Mengusik. Tak
habis-habis berjenaka.
“Habis tu, lampu hijau dah dapat. Masuk gear, tekan sajalah
padel minyak. Berdesup dan bersedia untuk memecut. Susah apa?” leter Syaqir.
“Kau tak fahamlah Syaq,” jawab Tengku Faiq mengeluh.
“Tak faham? Tengku Faiq dah pandai mengeluh?” celah
Syaqir. Menyengih kemudiannya.
“Wait! Kau jangan cakap dengan aku yang kau dah
jatuh cinta dengan dia. Tak mungkin. Kau sendiri pernah cakap pada aku dulu
yang kau sama sekali tak akan jatuh cinta dengan dia. Aku tak percaya langsung yang
kau dah terkulai dengan godaanya,” terang Syaqir.
Tengku Faiq menoleh memandang Syaqir. Tajam tanpa
berdecit pun.
“Kenapa? Pelik? Nak tau kenapa aku cakap macam tu?” kecil
mata Syaqir memerhati sahabatnya itu.
“Sebab?”
“Iya, sebab. Sebab Nur Aisya tu bukan daripada jenis wanita idaman atau
dambaan kau. Hanya layak jadi stok tersepit saja. Tak gitu?”
“Aku ada cakap macam tu ker?”
“Mestilah ada. Aku tak mereka-reka cerita. Itu kau
sendiri yang cakap dengan aku dulu. Lupa?”
“Mungkin kau lupa. Tapi aku masih ingat lagi,” tambah
Syaqir.
“Siapa kata aku cintakan dia? Aku cuma tak sampai hatilah
nak sakitkan hati dia. Dia budak baik sebenarnya. Jujur dan sekali pun tak
pernah menyinggung perasaan aku,” ujar tengku Faiq untuk menjaga air mukanya.
“Nah! Sekarang kau baru nampak yang dia tu budak baik?
Baru tersedarlah ni erk?”
“Tapi kalau dia benar-benar baik, dia tak akan tega sakitkan
hati aku macam ni,” keluh Tengku Faiq berbau separa kecewa.
“Bila?” Tengku Faiq disoal balas oleh sahabatnya itu.
“Iyalah. Tadi kau sendiri kata dia yang izinkan. Bukan
kau yang paksa. Maknanya dia dah bersedialah tu. Rela. Mungkin dia nak tengok kau
hidup bahagia macam orang lain. Bila masa pula dia sakitkan hati kau?” tambah
Syaqir.
Tengku Faiq diam. Kerutan
pada dahinya dah jelas menjawab persoalan Syaqir sebentar tadi.
“Jadi, siapa gadis bertuah tu? Suzy?”
Mengeleng,
“Jasmeen..”
“Nah! Lagi senang.
Ini baru betul-betul rezeki terpijak namanya, Bro. Bukan Jasmeen tuh antara pilihan
terbaik kau pernah ada ker? Dari dulu lagi, kau memang pernah tergila-gilakan
si Jasmeen tu. Cuba ingat balik betapa huru hara hidup kau bila dia hilang dulu.
Dah tentulah sampai sekarang kasih sayang kau untuk dia masih kukuh tersimpan
dalam lubuk hati kau tu kan. Tak gitu?” Syaqir meleret berhujah.
“Bukan macam tu, Syaq. Kau tak faham. Aku tak nafikan
yang aku memang pernah tergila-gilakan dia. Tapi itu dulu. Masa aku tak punya
sesiapa.”
“So..” celah Syaqir.
“Aisya dah ada dalam hidup aku sekarang. Cuma aku tak
jelas dengan rasa hati dia. Tak ada hati ker perempuan tu?” luah Tengku Faiq
perlahan.
“Aku ni siapa, pada dia?” jelas Tengku Faiq lagi.
Syaqir terdiam.
“Kau sendiri pun kenal siapa Jasmeen kan? Dia boleh buat
apa-saja yang dia nak tanpa mefikirkan masalah atau kepentingan orang lain.”
“Manalah tahu, dia dah berubah,” balas Syaqir.
“In case..”
“In case apa?” soal Syaqir bila
ayat sahabatnya mati di tengah jalan.
“In case Aisya minta cerai lepas aku
nikah dengan Jasmeen macam mana?”
Syaqir menunjukkan
isyarat tak tahu.
Beberapa minit kemudian, “Kau suami dia. Sepatutnya
kaulah yang lebih arif tentang persoalan tu, Faiq. Kau yang lebih arif dengan
hati dan perasaan dia berbanding orang lain. Aku tak ada jawapan bagi soalan
kau tu.”
“Tapi aku hairanlah. Apasal kau boleh jadi serba salah
sangat macam ni, hah? Biasanya kau bersunguh-sungguh usaha nak sakitkan hati dia.
Saja-saja nak tayang awek kau depan dia. Malah sebelum ni, kau tak pernah kisah
pun tentang perasan dia walau sesaat. Nak pecah ke. Nak ranap ke. Nak musnah
ke. Nak berderai ke.”
“Ehh.. jangan-jangan kau dah tangkap cintan ni…” Syaqir
nakal meneka.
“Atau kau dah..” ayat Syaq mati disitu, telunjuknya naik
hampir-hampir berada di depan batang hidung Tengku Faiq. Syaqir memandang wajah
sahabat baiknya itu. Keningnya diangkat-angkat. Kemudian dia tertawa besar.
Namun, telunjuk Syaq pantas ditepis ke tepi oleh Tengku
Faiq.
“Kalau ada pun, accidentlah,”
jawab Tengku Faiq malas-malas berbaur ego.
“Hahahaha… Aku dah agak dah. Padanlah berat hati. Cinta
sudah berputik rupa-rupanya. Banyaklah kau punya accident.”
“Wey kawan! Dah pakai, banyak cerita pulak,” Syaq menguis
keting Tengku Faiq dengan kakinya.
“Bukan salah pun. Hak aku sebagai suamikan,” jawab Tengku
Faiq membela dirinya.
“Aik! Sejak bila Tengku Faiq sudah pandai persoal tentang
hak seorang suami ni? Sebab dah tak tahan kena goda ker?”
“Berat kes kau ni, Bro. Mana tau kalau terjadi apa-apa di
antara korang,” tambah Syaqir lagi.
“Maksud kau?”
“Sendiri mau ingatlah, Bro. Tak kan itu pun aku nak kena
bagitau,” Syaq tertawa lagi.
“Jangan ikut macam aku sudah. Dapat title duda hot beranak satu.”
Tengku Faiq menyengih dalam dilemma.
“Ishk! Buat apa pening-pening, Bro. Orang dah bagi permission
tu. Peluang dah ada depan mata. Bukan ker itu yang kau tunggu-tunggu selama ni.
Kaut sajalah. Bukan senang orang perempuan nak bagi lampu hijau tau. Satu dalam
sejuta, aku rasa,” bicara Syaqir lagi.
“Tapi satu jerlah aku nak pesan. Kalau kau dah tak sudi, pass
ler kat aku. Aku sedia jadi pengganti kau. Mengubat luka dihatinya,” pesan
Syaqir serius, membuang pandangnya ke tengah lautan.
Tengku Faiq merenung tajam wajah sahabat baiknya itu.
Namun, Syaqir beriak bersahaja. Renungan tajam Tengku Faiq tidak sedikit pun
menganggu emosinya.
“Aku betul-betul maksudkannya, Bro. Ikhlas. Juga tak ada
niat nak main-mainkan perasaan Aisya,” Syaqir membuat penjelasan.
“Aku tau, kau tak percaya pada kata-kata aku ni. Tapi
belum cuba belum tahu tau, kawan. Mari ler cuba. Kalau aku dah dapat dia,
jangan harap aku nak pulangkan semula
pada kau. Biarlah kau menangis airmata darah sekalipun. Kalau kau nak juga,
langkah mayat aku dulu,” terang Syaqir lagi. Serius bunyinya.
“Aku nak tau juga, faktor apa yang boleh buat kau bercakap
macam orang mereng ni hah,” tegas Tengku Faiq memeluk tubuh.
“Hey! Kawan. Aku tak merenglah, okay. Itu kenyataan.
Memanglah aku selalu main-main dengan perasaan perempuan tapi perempuan yang
kau ada ni lain sikit dari yang lain. Pada aku, ada sesuatu yang sangat istimewa
dalam diri dia. Nak cerita, aku sendiri pun belum pasti apa. Tapi aku berani
cakaplah yang kau sendiri pun tak pernah sedar akan keistimewaannya tu. Kalau
tak, takkanlah rumahtangga korang boleh tersasar jauh macam ni sekali. Aku tak
taulah isteri yang macam mana lagi yang kau nak cari,” balas Syaqir.
“Teruk sangat ke aku ni?”
“Aku taklah kata kau teruk. Tapi aku minta sangat-sangat.
Kau tolonglah jujur dengan diri sendiri. Jika berdepan dengan Nur Aisya, kau cuba
simpan jauh-jauh ego kau tu dulu. Sebab dalam bab kekeluargaan, kita tak boleh terlalu
menjaga rasa ego, Bro. Pengalaman dah mengajar aku erti kekeluargaan. Menyesal
di hujung jalan, dah tak berguna,” jawab Syaqir sambil menepuk bahu sahabatnya
itu.
“Aku tak nak kau ulang kesilapan aku. Aku juga tak nak
kau rasa apa yang aku rasa.”
“Sakit, Bro. Bila kita tersedar selepas orangnya dah
tiada,” terang Syaqir dalam sebak.
“Mula-mula dulu, aku rasakan bagai nak gali semula kubur
arwah tu. Aku tak sempat mohon maaf pada arwah. Sampai hujung nyawa dia
bertahan dengan sifat ego aku. Aku selalu abaikan kewujudannya. Yang aku
terkilan sangat, aku tak ada di sisinya masa dia pergi mengadap Ilahi.”
“Sorrylah, aku menyingkap sejarah lalu kau.”
“Tak apa. Tauladan.”
Tengku Faiq menggangguk bersetuju.
“Nah..”
“Apa ni?” tanya Tengku Faiq.
“Bukalah.. “
Tengku Faiq membuka sampul coklat yang tebal. Beberapa
keping gambar ditatapnya lama. Sekeping daripadanya memaparkan wajah muram Nur
Aisya yang duduk bersendirian di bangku batu di bawah pokok dengan lengkap
berjubah. Di sekelilingnya terdapat ramai pelajar-pelajar lain bersama sama
dengan keluarga mereka.
“Candid pictures of your wife. Zura yang minta aku
sampaikan pada Aisya,” jelas Syaqir.
“Kesian.. Sorang-sorang,” tambah Syaqir lagi.
Tengku Faiq beralih kepada gambar yang lain. Nur Aisya
bergambar di sisi Syazura dan juga Syaqir berserta anak kecil sahabatnya itu.
Terpancar kegembiraan dalam senyuman isterinya.
“Happy Family.”
Pandangan Tengku Faiq berkalih ke arah muka Syaqir yang
menyeringai macam kerang busuk.
“Aku main-main jer. Takkan itu pun nak marah. Relakslah,
Bro. Aku taulah dia tu kau punya sorang.”
“Kami pinjam sekejap ajer. Berlakon, bukan betul-betul
pun. Tapi kalau kau nak bagi percuma,
kami terima jer dengan dada yang terbuka.”
“Kau dah lama tak kenal dengan penumbuk aku ni kot,” ujar
Tengku Faiq serius tanpa seloroh mahupun senyuman.
“Alhamdulillah, syukur. Hati kau benar-benar dah terbuka
untuk dia. Aku selalu doakan yang terbaik untuk rumahtangga korang berdua. Moga-moga
kasih sayang yang korang semai tu, berbunga-bunga hingga ke akhir hayat yang
ada,” balas Syaqir yang terdorong sedikit ke belakang untuk mengelak penumbuk
Tengku Faiq dari menghinggapi wajahnya yang tampan lagi hot itu.
Ikuti kisah selanjutnya,
best cite novel nie kak..x sabar nk th ending nye..please upload ag..
ReplyDeletekak cepat lah update tak sabr da
ReplyDeleteNak bab 30 yer? Tungguuu.. ;)
ReplyDeletealamak lama ke kak
ReplyDeleteSmpai bab brpa
ReplyDelete